Back to Articles Archive

PEMBELAJARAN MAYA DAN PEMBANGUNAN KOMUNITI

Oleh:
Hairol Nizam bin Yusof
Nandy Marlina binti Saar
Pamella Bang


Pengenalan

Kemunculan teknologi Internet telah mengubah corak hidup komuniti dan masyarakat di seluruh dunia dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, politik dan sosial. Bidang yang turut berkembang dalam era Internet ialah bidang Pembelajaran Maya (virtual learning). Di Malaysia perkembangan Internet memberi kesan dalam komuniti maya, Pembelajaran Maya dan pembangunan komuniti.

Perkembangan Teknologi Internet

Internet dapat menyampaikan maklumat secara maya merentasi sempadan geografi pada bila-bila masa. Pada mulanya Internet digunakan untuk bidang ketenteraan dan penyelididkan di institusi pengajian tinggi, namun pada tahun 1993 Internet mula digunakan dalam sektor swasta dan perindustrian (Gerber, 1993).
Penggunaan Internet mengubah corak hidup komuniti dan masyarakat dalam bidang pendidikan, ekonomi, politik, sosial dan sebagainya. Penggunaan Internet juga menukar pengajaran konvensional kepada pengajaran berasaskan Pembelajaran Maya. Pembelajaran Maya merupakan program pengajaran menggunakan sumber Jejaring Sedunia (World Wide Web atau WWW) bagi mencipta suasana pembelajaran bermakna (Badrul Khan, 1997). Pengajaran berasaskan jejaring mampu melengkapkan individu menjadi ahli komuniti bermaklumat (information society) sekaligus menghasilkan masyarakat berilmu (knowledge society).
Jejaring Sedunia (World Wide Web atau WWW) menyampaikan teks, grafik, audio, video, dan animasi. Jejaring Sedunia membolehkan interaksi di antara individu pada jarak jauh. Penggunaan Internet merupakan teknologi canggih yang membantu dalam meningkatkan maklumat, pengetahuan dan kemahiran baru dalam sesebuah komuniti. Pengetahuan dapat disebarkan tanpa sempadan dan dicapai secara global dengan kewujudan Internet.

Komuniti Maya

Secara umum konsep “komuniti” yang difahami sebelum ini adalah tempat sesuatu masyarakat tinggal bersama dan dibatasi oleh faktor geografi (Porterfield, 2001). Menurut Saragina (1999), “komuniti” ialah interaksi di dalam populasi yang terdiri daripada pelbagai individu dalam sesuatu lokasi, merasai kepunyaan bersama atau keterlibatan dan mempunyai satu perjanjian sosial atau keadaan yang dipersetujui bersama. Kemunculan teknologi Internet dan World Wide Web (WWW) mewujudkan individu dan kumpulan masyarakat yang boleh berhubung antara satu dengan lain dan bersemuka secara maya melalui penggunaan teknologi komputer tanpa dibatasi oleh faktor geografi. Kewujudan Internet mengakibatkan k pemahaman terhadap konsep “komuniti” menjadi semakin kompleks dan meluas. Kewujudan Internet menjadikan seseorang individu pada masa yang sama mampu menjadi ahli komuniti kepada tempat tinggal mereka, ahli komuniti kepada tempat kerja, ahli komuniti kepada pertubuhan - pertubuhan tertentu, dan menjadi ahli kepada mana - mana komuniti di seluruh dunia. Istilah seperti “online communities” dan “virtual communities” merupakan contoh isltilah yang merujuk kepada komuniti di alaf teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) khususnya Internet.

Ahli dalam sesebuah komuniti mampu bertemu secara bersemuka atau bertemu secara maya melalui skrin komputer. Menurut Boettcher, Duggan, dan White, (1999), komuniti dalam talian (online communities) atau komuniti maya (virtual communities) merupakan sekumpulan individu yang bersemuka dalam sebuah ruang maya untuk berkomunikasi serta mengenali antara satu sama lain dalam sesuatu masa. Menurut Kumiko Aoki (1994), terdapat dua jenis kumpulan komuniti maya. Kumpulan pertama merupakan komuniti yang mengenali antara satu dengan yang lain dan bersemuka dalam persekitaran maya. Komuniti terbabit menggunakan komputer sebagai alat komunikasi dengan menggunakan aplikasi seperti emel bertujuan mengekalkan komunikasi di antara ahli komuniti terbabit menerusi pelbagai perbincangan tentang isu - isu berkaitan dan berkerjasama dalam melakukan sesebuah tugasan. Kumpulan kedua merupakan komuniti yang tidak mengenali individu lain yang merupakan komuniti terbabit tetapi mereka mempunyai kepentingan, sistem nilai dan matlamat yang sama. Menurut Kumiko Aoki lagi, perbezaan utama di antara komuniti maya dengan komuniti tradisional ialah;

1. Bebas dan tidak dibatasi oleh faktor geografi.
2. Kebolehan capaian Internet.
3. Kebolehan mendapatkan maklumat atau berita secara atas talian.
4. Komunikasi terbatas dalam bentuk teks dan tulisan.


Pertemuan di ruang maya berlaku secara sinkroni (pada masa yang sama) atau asinkroni (pada masa tidak sama). Perbincangan dan pertemuan di antara ahli komuniti secara sinkroni ialah seperti melalui ruang sembang (chat room), persidangan video (video conference) dan seumpamanya. Manakala pertemuan di ruang maya secara asinkroni adalah seperti melalui e - mail, forum, bulletin boards, massage board, group discusstion, dan seumpamanya.

Terdapat berbagai-bagai tujuan dan niat seseorang individu itu menyertai komuniti maya. Sesebuah komuniti biasanya terbentuk hasil daripada keperluan untuk membincangkan sesuatu isu yang mempunyai kepentingan bersama, seperti isu alam sekitar, kesihatan, pendidikan, kepercayaan dan sebagainya.

Pembelajaran Maya

Pembelajaran Maya sering dikaitkan dengan istilah - istilah seperti e - pembelajaran, pembelajaran secara atas talian (online learning), pembelajaran jarak jauh, pembelajaran berasaskan laman web dan sebagainya. Pembelajaran Maya merupakan pembelajaran yang berasaskan penggunaan Internet sebagaimana yang dinyatakan oleh (Norafida dan Othman, 2000; Jamaludin, 2000; Rheingold, 2004). Istilah Pembelajaran Maya juga mula digunakan seiring dengan perkembangan Internet. Menurut Jamaludin (2000) Pembelajaran Maya merupakan corak bagi mendapatkan ilmu. Pembelajaran Maya juga merupakan pendidikan berasaskan konsep penyampaian pengajaran yang mampu menghasilkan perubahan dalam diri seseorang individu dari segi mental, pemikiran, konsep, sikap dan perlakuan melalui hasil pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan melalui sistem atas talian (online) dalam proses, penyampaian pengetahuan/maklumat, pemantauan prestasi pelajar, penilaian dan capaian kepada sumber pengajaran dan pembelajaran pelajar.

Komuniti Pembelajaran Maya merupakan salah satu kumpulan komuniti yang membangun seiring dengan perkembangan teknologi Internet dan World Wide Web (WWW). Komuniti Pembelajaran Maya juga turut membangun di Malaysia sama ada di peringkat pendidikan sekolah atau pusat pengajian tinggi. Komuniti Pembelajaran Maya dibangunkan dan dibiayai oleh pihak kerajaan dan swasta. Komuniti Pembelajaran Maya didefinisikan sebagai satu persekitaran pembelajaran yang “berasaskan kepada perkongsian tujuan berbanding dengan faktor geografi” (Schwier, 2001).

Komuniti Pembelajaran Maya menyebabkan faktor geografi bukan merupakan masalah utama untuk individu belajar. Individu mampu belajar dengan mempunyai bekalan komputer dan capaian Internet untuk berhubung secara maya bagi menjayakan proses Pembelajaran Maya. Pembelajaran Maya tersebut boleh berlaku secara formal atau tidak formal. MsLellan (1998), mendefinisikan komuniti Pembelajaran Maya sebagai satu tempat untuk pelajar menyertai dan berkerjasama (collaboration). Komuniti Pembelajaran Maya dibina oleh badan korporat, badan sukarela dan melalui kursus - kursus yang ditawarkan di sesebuah universiti. Tujuan utama Komuniti Pembelajaran Maya adalah membantu komuniti yang terdiri daripada golongan pelajar dan pekerja dalam meningkatkan pengetahuan mereka. Intitusi akademik mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran terbuka dan fleksibel kepada pelajar dengan kewujudan teknologi maklumat dan capaian Internet. Keupayaan liputan oleh teknologi maklumat serta kepantasan dalam teknologi terkini seperti telekomunikasi, komputer, satelit komunikasi, fiber optic, broadband, wireless, dan sebagainya memberi peluang kepada intitusi akademik melaksanakan pembelajaran secara jarak jauh melalui atas talian (online learning).


Persekitaran Pembelajaran Maya

Menurut Rheingold (2004), persekitaran Pembelajaran Maya berasaskan Internet dibina bagi menghubungkan ahli - ahli dalam komuniti untuk membolehkan perbincangan dan kerjasama berlaku dalam perlaksanaan sesuatu tugasan dan projek. Ahli komuniti yang terlibat dalam persekitaran Pembelajaran Maya memerlukan komputer dan capaian atas talian (online) dari mana - mana tempat di seluruh dunia. Ahli komuniti mampu terlibat secara aktif melalui pertukaran pandangan tentang perkembangan pada masa hadapan, berkongsi pandangan dalam perlaksanaan sesuatu polisi serta berbincang tentang perkembangan tugasan untuk sesuatu topik melalui persekitaran Pembelajaran Maya berasaskan Internet. Seterusnya Rheingold (2004), menyatakan setiap ahli komuniti di dalam persekitaran Pembelajaran Maya berpeluang mencapai bahan - bahan dan maklumat berkaitan dengan tajuk perbincangan yang terlibat. Dokumen seperti bahan persembahan, artikel dan senarai tambahan sumber yang diperolehi secara atas talian dari laman - laman web juga mampu dibekalkan dan diperolehi dalam persekitaran Pembelajaran Maya berasaskan Internet. Tiga komponen asas di dalam persekitaran Pembelajaran Maya iaitu;

1. Sumber Bahan: Ahli komuniti serta peserta boleh mendapatkan maklumat melalui bacaan sumber bahan yang di muat naik (uploaded) dalam persekitaran Pembelajaran Maya. Kesimpulannya, semua bahan yang diperlukan di dalam bengkel atau perbincangan terbabit boleh dibekalkan dan diperolehi dengan mudah melalui persekitaran Pembelajaran Maya berasaskan Internet.

2. Perhubungan: Persekitaran Pembelajaran Maya menyediakan persekitaran yang membolehkan perserta dan ahli komuniti bertukar pendapat serta pandangan secara maya melalui atas talian. Peserta dapat menghantar dokumen dan bahan yang perlu berkenaan dengan perbincangan berkaitan dan ahli komuniti yang lain dapat memberikan maklum balas terhadap bahan terbabit melalui perbincangan dan interaksi secara maya. Aplikasi terbabit yang membenarkan komunikasi secara maya berlaku di antara peserta dan ahli komuniti adalah seperti, Bulletin Board, E-Mail, File Sharing, Discussion Forum dan Kelas Maya. Alat komunikasi tersebut berfungsi sebagai perantara untuk pertemuan secara bersemuka di dalam persekitaran Pembelajaran Maya.

3. Fungsi Pentadbiran: Pendaftaran peserta diperlukan untuk peserta dan ahli komuniti menghantar maklumat tentang diri mereka serta membolehkan diri mereka mengetahui tentang maklumat diri peserta lain yang menyertai persekitaran Pembelajaran Maya tersebut. Sementara itu Jamaludin (2001) menyatakan bahawa persekitaran Pembelajaran Maya perlu mempunyai ciri-ciri utama seperti berikut;

a. Sistem penghantaran dan pengurusan bahan kursus.
b. Kawalan capaian mengunakan kata laluan.
c. Penilaian prestasi pelajar dipantau berdasarkan pengumpulan dan analisis markah serta rekod prestasi pelajar.
d. Sistem komunikasi pada masa berlainan (asynchronous) dan pada masa serentak (synchronous), sistem komunikasi secara bersemuka, individu dengan komuniti atau sebaliknya dan komuniti dengan komuniti melalui sidang video.
e. Fasiliti penjadualan waktu pengajaran dan pembelajaran.
f. Penilaian berbentuk formatif (contoh: penilaian kendiri).
g. Ruang storan untuk pelajar bertukar dan menyimpan bahan serta maklumat.
h. Pangkalan sumber bahan pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel.
i. Kemudahan sokongan dan panduan secara talian.
j. Aplikasi untuk mengemas kini bahan pembelajaran.
k. Sokongan tutor dan penasihat.
l. Struktur kelas secara maya memerlukan kolaborasi, mentor, projek dan penyediaan porfolio dan tugasan yang menjalankan gaya pembelajaran berkesan.
m. Jangka masa kursus atau pembelajaran bukan sepanjang hayat.
n. Kos pembayaran untuk yuran kursus/program serta yuran pada talian.


Perlaksanaan Pembelajaran Maya

Universiti di seluruh dunia melaksanakan pembelajaran secara maya berasaskan teknologi ICT dan Internet yang digunakan secara meluas. Istilah “universiti maya” dan “universiti terbuka” digunakan bagi menggambarkan perlaksanaan pembelajaran secara maya di universiti. Di Amerika Syarikat, dalam tahun 2001, hampir 47 peratus kolej menawarkan pembelajaran secara jarak jauh dan lebih kurang sebanyak 54,000 kursus ditawarkan pada peringkat universiti secara atas talian. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh International Data Corporation (IDC), 90 peratus kolej – kolej di Amerika Syarikat menawarkan e - pembelajaran pada akhir tahun 2004 (Schultz & Fogarty, 2002). Jones International University (JIU) merupakan antara universiti yang menawarkan kursus secara maya melalui capaian Internet dan merupakan antara pelopor universiti siber yang mula beroperasi pada tahun 1999. Menjelang tahun 2001 pelajar di JIU meningkat kepada 6,000 orang yang kebanyakannya terdiri daripada golongan dewasa yang sedang berkerja. University of Phoenix pula merupakan antara universiti swasta terbesar di Amerika Syarikat yang menawarkan kursus secara maya dan sepenuh masa. Pada tahun 2000, seramai 10,000 pelajar University of Phoenix mengikuti kursus dari universiti secara atas talian.

Pembelajaran secara maya di peringkat sekolah turut meningkat di kebanyakan negara - negara maju dan membangun. Syarikat kebanyakannya melabur di dalam bidang pendidikan bagi memberikan pulangan yang tinggi. Pembelajaran secara maya semakin popular disebabkan peningkatan pengetahuan dan kebolehan pelajar dalam menggunakan Internet. Schultz & Fogarty (2002) menganggarkan pada tahun 2002, 92 peratus pelajar - pelajar sekolah dan kolej boleh mencapai Internet melalui komputer di sekolah sementara 55 peratus pelajar mencapai Internet dari komputer peribadi.

Universiti kebanyakannya menawarkan kursus - kursus melalui persekitaran Pembelajaran Maya menerusi Internet. Pelajar tidak perlu mengunjungi kampus dan bersemuka dengan pensyarah dalam mendapatkan sijil, diploma dan ijazah. Sistem pengajian yang dijalankan sepenuhnya melalui talian bermula yang merangkumi pengiklanan kursus, pendaftaran, pembayaran, pengajaran, perbincangan dan seterusnya kepada penilaian memudahkan para pelajar untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat tinggi tanpa bimbang tentang lokasi tempat pengajian dan batasan geografi.

Pembelajaran Maya mula diperkenalkan di Malaysia dengan kewujudan Koridor Raya Multimedia (MSC). Istilah teknologi maklumat (IT), seterusnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) juga mula diiklankan melalui media massa perdana di negara ini. Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) yang ditubuhkan pada tahun 1997 merupakan universiti pertama di negara ini yang menjalankan pendidikan jarak jauh secara maya. UNITAR merupakan institusi pengajian swasta milik KUB (M) Berhad yang pertama di negara ini yang mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan untuk menawarkan konsep Pembelajaran Maya (virtual learning). Universiti ini menawarkan program akademik dan latihan dari peringkat sijil, diploma, ijazah sehingga ke peringkat kedoktoran. Semua program pengajian yang dikendalikan oleh UNITAR menggunakan ICT sepenuhnya dengan aplikasi multimedia dan sistem komunikasi secara atas talian. Penuntut tidak perlu menghadiri kuliah untuk mendapatkan bahan pembelajaran. Pelajar hanya memerlukan capaian Internet bagi mendapatkan bahan tersebut. UNITAR juga memberi pilihan kepada pelajar institusi terbabit untuk bersemuka dengan pensyarah.

OUM ditubuhkan pada tahun 2000 yang menawarkan berbagai kursus dari peringkat diploma, ijazah, sarjana dan kedoktoran. Universiti Terbuka Malaysia (OUM) juga merupakan universiti di Malaysia yang menawarkan kursus - kursus secara maya. OUM memperkenalkan pembelajaran dengan falsafah “universiti untuk semua”. Konsep pembelajaran di OUM juga membolehkan pembelajaran dan perbincangan dijalankan secara maya. Pelajar OUM juga perlu menghadiri perbincangan tutorial secara bersemuka dengan tutor yang dilantik oleh OUM. Para pelajar boleh mendapatkan bekalan bahan pembelajaran dalam bentuk digital dan bercetak seperti buku dan nota yang dimuat turun melalui Internet. Pada tahun 2004 terdapat 23,000 pelajar mendaftar sebagai pelajar OUM dalam berbagai bidang kursus yang ditawarkan oleh universiti berkenaan (Zoraini Wati, 2004). Konsep Pembelajaran Maya juga turut dilaksanakan di hampir semua universiti di Malaysia menerusi program pembelajaran jarak jauh seperti yang dijalankan di Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Multimedia, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Universiti Tun Hussain Onn (KUITHO).

Tylor (1992) merumuskan proses penyampaian dan pembangunan maklumat serta pembelajaran untuk pendidikan jarak jauh di kategorikan kepada beberapa model, iaitu Correspondence Model, Multimedia Model dan Telelearning Model. Correspondence Model merupakan model pembelajaran jarak jauh untuk generasi pertama, seterusnya Multimedia Model adalah model pembelajaran untuk generasi ke dua dan Telelearning Model adalah model untuk pembelajaran jarak jauh generasi ke tiga. Kini muncul model generasi keempat, iaitu Model Pembelajaran Fleksibel (Flexible Learning Model) yang menekankan kepada corak pembelajaran fleksibel, iaitu pembelajaran berasaskan kesediaan pelajar untuk belajar di dalam masa dan tempat yang sesuai dengan minat dan citarasa pelajar (Tylor, 1995). Model Pembelajaran Fleksibel sesuai dengan persekitaran Pembelajaran Maya yang berasaskan penggunaan teknologi Internet.


Model Pembelajaran Maya

Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) pada asasnya menjalankan pembelajaran secara atas talian. Rangkaian UNITAR dan VOISS (Virtual Online Instructional Support System) merupakan tulang belakang kepada persekitaran Pembelajaran Maya di UNITAR. VOISS mengandungi berbagai kemudahan interaktif seperti perbincangan secara talian, tutorial secara talian, kuiz, bimbingan dan maklumbalas terhadap tugasan. Perbincangan dijalankan secara sinkroni atau pun asinkroni. VOISS menyediakan bahan - bahan pengajaran yang didapati secara talian, perancangan kursus, pengumuman tentang tugasan, FAQs, papan buletin, maklumat pelajar dan maklumat pengajar. Pelajar dan pengajar diberikan kata laluan untuk capai serta berhubung dengan pelajar lain melalui VOISS. Aplikasi Pembelajaran Maya di UNITAR membuktikan bahawa Pembelajaran Maya bukan hanya disokong oleh Internet dan sistem pembelajaran atas talian, namun sokongan daripada pensyarah juga perlu bagi memastikan pelajar berdisiplin dan tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar. Terdapat berbagai sokongan yang membolehkan pembelajaran secara arahan kendiri (self directed learning) di dalam persekitaran maya iaitu sokongan teknikal, sokongan pentadbiran, sokongan tutorial, kaunseling dan pertemuan secara bersemuka pelajar dengan pensyarah jika diperlukan. (Abu Daud, Daing Zaidah & Bahaman, 2001).


Pembelajaran Maya dalam Pembangunan Komuniti

a. Pembelajaran Maya menggalakkan perkongsian maklumat dalam sesebuah komuniti. Perkongsian maklumat dan pengetahuan di antara ahli dalam organisasi dan institusi penyelidikan adalah penting. Istilah masyarakat bermaklumat digunakan secara meluas dan ia membawa maksud berdasarkan keperluan dan kepentingan sesuatu masyarakat dan komuniti itu sendiri. Daniel Bells (1999), menyatakan masyarakat yang berada di pasca Post - Industrial Society bermaksud pengurusan pengetahuan mejadi perkara utama meningkatkan pencapaian ekonomi. Pada masa lalu aset sesebuah organisasi adalah bangunan, peralatan dan tenaga pekerja ramai. Dalam organisasi yang berteknologi tinggi, pekerja yang mempunyai maklumat yang banyak dan terkini merupakan aset paling berharga. Menurut Bell, kuasa utama dalam menentukan peningkatan ekonomi adalah gabungan peranan diantara pengeluar ilmu dan pemilik modal seperti kerjasama antara universiti dan bahagian penyelidikan industri. Persaingan di antara industri bergantung kepada penghasilan sesuatu yang baru, inovatif dan kreatif. Penyelidikan dan kerjasama dengan universiti dalam menghasilkan pengetahuan dan produk baru akan menjadi lebih mudah melalui aplikasi Pembelajaran Maya, e-pembelajaran dan pembelajaran jarak jauh Melalui Pembelajaran Maya perkongsian maklumat di dalam sebuah komuniti juga dilakukan dengan cepat dan berterusan. Menurut Jamaludin (2000), manusia berbeza dengan makhluk lain kerana manusia mempunyai fikiran. Pengetahuan sekumpulan manusia lebih banyak berbanding pengetahuan seorang individu. Malangnya manusia tidak mempunyai jaringan otak - ke - otak dalam menyebarkan dan mencapai pengetahuan antara satu sama lain. Pengetahuan di antara kumpulan manusia terpisah. Internet membantu dalam menyebarkan dan pengetahuan di dalam sesebuah komuniti. Perkongsian maklumat antara ahli dalam sesebuah komuniti amat penting bagi memastikan sesebuah komuniti berkembang pesat.

b. Pembelajaran Maya memberi peluang yang lebih luas kepada sesebuah komuniti untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. Pertambahan bilangan pelajar berlaku di negara - negara maju dan di negara - negara membangun. Washington State (2000) perlu bersiap sedia menerima lebih daripada 50,000 pelajar baru di sekolah - sekolah awam pada setiap tahun. Pertambahan turut berlaku di tempat - tempat lain di negara tersebut. Pertambahan yang begitu besar tidak dapat ditampung oleh pendidikan tradisional yang sedia ada. Pendekatan melalui pengajaran dan Pembelajaran Maya merupakan cadangan yang dapat mengatasi masalah tersebut. Pembelajaran Maya ianya merupakan cara berkesan untuk menampung bilangan pelajar yang meningkat di dalam sesebuah komuniti dan negara. Menurut Jamaludin (2000), Pembelajaran Maya merupakan alternatif berkesan untuk menampung bilangan pelajar ramai. Pengajaran dan pembelajaran secara tradisional gagal dilaksanakan secara berkesan kerana pengajaran secara kuliah untuk 500 - 1000 orang pelajar cuma merupakan sesi penyampaian tanpa interaksi antara pelajar dan pensyarah akibat jumlah pelajar yang terlalu ramai untuk seorang pensyarah. Kesesakan dalam dewan kuliah juga menjadikan pengajaran dan pembelajaran tidak kondusif yang mengakibatkan motivasi pelajar menurun. Pembelajaran Maya merupakan satu alternatif yang sesuai bagi menampung bilangan pelajar yang meningkat di dalam sesebuah negara seperti Malaysia. Pembelajaran Maya juga membolehkan komuniti yang bekerja dapat meningkatkan tahap pendidikan ke peringkat yang tinggi. Tahap pendidikan yang tinggi membuka peluang menjawat jawatan yang lebih baik.


Kesimpulan

Perkembangan teknologi Internet telah mengubah konsep komuniti menjadi satu konsep komuniti maya yang tidak dibatasi oleh faktor geografi. Perkembangan teknologi Internet juga mencetus komuniti Pembelajaran Maya yang berperanan dalam pembangunan komuniti. Konsep komuniti maya dan Pembelajaran Maya ini akan memberi kesan positif di dalam pembangunan komuniti sekiranya setiap anggota komuniti masyarakat mampu mengaplikasi perkembangan teknologi Internet secara positif bagi memperoleh faedah yang maksimum untuk setiap lapisan komuniti.


Bibliografi

Abu Daud Silong, Daing Zaidah Ibrahim & Bahaman Abu Samah (2001), PERCEPTION OF WORKING ADULTS TOWARD ATAS TALIAN LEARNING IN A VIRTUAL UNIVERSITY , http://gdenet.idln.or.id/Technology/TechnologyInterpInteracIntegratedAbuDaud.htm
Badrul H.Khan (1997), Web-Based Instruction, Educational Technology Publications Englewood Cliffs, New Jersey.
Dutton. W.H., & Loader. B.D (2002), Digital Academe , The new media and institutions of higher education and learning, Routledge, London
Eager,B. (1995), Using The World Wide Web and Mosaic (Spesial Edition), Indianapolis IN: Que Corporation
Giber, C. (1993), Booming commercial use changes face of Internet, Infoworld, 15(15): 1,53 I
nternet World Stars, (2004), Internet Users & Population Statistics for 35 countries and regions in Asia, www.InternetWorldStars.com
Internet World Stars, (2004), TOP 20 COUNTRIES WITH HIGHEST NUMBER OF INTERNET USERS, www.InternetWorldStars.com
Jamaludin Mohaidin (2000), Kesedaran dan Pembelajaran Maya, Konvensyen Pendidikan UTM 2000, Sekudai Johor.
Kumiko Aoki (1994), Virtual Communities in Japan, Pacific Telecommunication Council 1994 Conference, Honolulu, USA
Marketer (1999), Net User demographics: Education (Web Document) http://www.emarketer.com/estats/demo.educations.html
Morioko, Masahiro (dalam Kumiko Aoki, 1994), Virtual Communities in Japan, Pacific Telecommunication Council 1994 Conference, Honolulu, USA
Mohamad Bilal Ali, Jamalludin & Zaidatun (2000), Pengajaran dan Pembelajaran Maya Menerusi Teknologi Kawalan Komputer Jarak Jauh, Konvensyen Pendidikan UTM 2000, Sekudai Johor.
Nua Internet Surveys (1999), How many atas talian: World Wide Web (Web Document), http://www.nua.ie/surveys/how_many_atas talian/world.html

Back to Articles Archive

Research, Articles & Publications    [ Archive ]

5th Convocation Ceremony
SIDMA College Sarawak

Date : 17th January 2019
Venue : Dewan Majma
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
Kompleks Islam Sarawak

Click Here for more info.

⛝ Beware

5th Convocation Ceremony
SIDMA College Sarawak

Date : 17th January 2019
Venue : Dewan Majma
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
Kompleks Islam Sarawak

Click Here for more info.

⛝ Beware

5th Convocation Ceremony
SIDMA College Sarawak

Date : 17th January 2019
Venue : Dewan Majma
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
Kompleks Islam Sarawak

Click Here for more info.

5th Convocation Ceremony
SIDMA College Sarawak

Date : 17th January 2019
Venue : Dewan Majma
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah,
Kompleks Islam Sarawak

Click Here for more info.

Announcements