Back to Articles Archive

TINGKAH LAKU BERMASALAH
PSIKOLOGI TINGKAH LAKU

OLEH:
ZELIHA
TAY LIANG ENG
NOR FARALISA


Pengenalan

Terdapat teori manusia menyatakan bahawa tingkah laku adalah berasal daripada naluri, iaitu tingkah laku tidak dapat dipelajari daripada sesiapa tetapi disebabkan oleh faktor dalaman atau kematangan fisiologi. Walau bagaimanapun, kebanyakan ahli teori percaya bahawa tingkah laku hanya boleh dipengaruhi oleh masa kini. Namun, tingkah laku semasa juga dipengaruhi oleh masa lampau. Begitu juga, sebarang perkara yang difikirkan masa kini boleh dipengaruhi oleh pemikiran masa tentang masa hadapan.

Justeru, dapatan Gibbons (1970) menyatakan kurang daripada 3% juvana di Amerika dirujuk kepada mahkamah juvana setiap tahun. Walaupun sebahagian besar populasi muda dalam perhatian mahkamah sewaktu zaman remaja, hanya separuh daripada kes rujukan ini dianggap sebagai kes berat untuk dibicarakan dalam mahkamah. Dengan perkataan lain, separuh lagi diurus secara tidak rasmi.

Definisi Tingkah Laku

Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Tingkah laku juga dikaitkan dengan semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur dan dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Menurut Lewis M.Beaker (2001), tingkah laku ialah sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar.

Manakala, menurut Garry Martin dan Joseph Pear (2003), tingkah laku juga merangkumi aktiviti, aksi, prestasi, tindakbalas, tindakan, reaksi dari segi teknik, aktiviti yang melibatkan otot-otot, kelenjar (glandular) dan aktiviti elektrik oleh setiap organ. Pada dasarnya tingkah laku adalah apa sahaja yang diperkatakan atau dilakukan oleh individu. Carl Rogers (1999), menekankan bahawa seseorang individu bertingkah laku mengikut persepsi diri sendiri dan keadaan. Sekiranya individu itu mempunyai konsep kendiri yang positif maka dia berupaya berinteraksi dan bertindak dengan lebih yakin.

Tingkah Laku Bermasalah

Tingkah laku bermasalah ialah merujuk kepada sebarang tingkah laku sama ada positif ataupun negatif yang menjejaskan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku terbahagi kepada dua iaitu tingkah laku positif dan tingkah laku negatif. Tingkah laku positif terbahagi kepada empat iaitu sikap ingin tahu, cepat belajar, proaktif dan pintar cerdas. Manakala tingkah laku negatif pula terbahagi kepada tiga iaitu tingkah laku distruktif, disruptif dan sikap pergantungan berlebihan.

Jenis Masalah Tingkah Laku

Masalah tingkah laku atau tingkah laku bermasalah pula merupakan tingkah laku yang tidak normal, iaitu abnormal behavior dalam bahasa Inggeris. Ia boleh ditakrifkan terkeluar dari nilai dan norma sosial masyarakat, termasuk sekolah. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat. Berdasarkan kajian dan pemerhatian, tingkah laku bermasalah yang tertimbul adalah kerana kekurangan keupayaan individu dalam proses adaptasi atau pun akomodasi apabila menghadapi perubahan situasi dalam alam persekitaran. Akibatnya, ia mengganggu emosi dan aktiviti kehidupan individu yang terlibat dan seterusnya mengganggu pula keharmonian alam persekitaran semasa proses interaksi berlaku. Mohd. Nazar Mohamad (1990) mentakrifkan tingkah laku bermasalah seseorang individu sebagai tingkah laku yang mengganggu perjalanan kehidupannya.

(a) Tingkah laku bermasalah positif

Tingkah laku bermasalah positif bermaksud tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tetapi tingkah laku itu akan menjadi bermasalah sekiranya dilakukan secara berlebihan atau tanpa kawalan dan boleh menimbulkan masalah kepadanya. Misalnya, sifat ingin tahu yang berlebihan kepada seorang kanak-kanak boleh menyebabkannya bertindak keterlaluan sehingga menyusahkan dirinya dan orang lain.

(b) Tingkah laku bermasalah negatif

Tingkah laku bermasalah negatif adalah jelas iaitu tingkah laku yang menimbulkan masalah kepada dirinya dan juga orang lain. Beberapa contoh tingkah laku bermasalah negatif adalah seperti berikut:

(c) Tingkah laku Disruptif/mengganggu

Perlakuan sentiasa mengganggu perjalanan pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. Tingkah laku ini juga berlaku di luar kelas dan juga di rumah.

(d) Pergantungan berlebihan

Kanak-kanak yang sangat bergantung kepada orang lain, tidak dapat berdikari, dan tidak berupaya membuat keputusan sendiri.

(e) Agresif

Tingkah laku agesif adalah seperti suka memulakan pergaduhan, suka bergaduh, suka memaki hamun, dan sebagainya.

(f) Distruktif/merosakkan

Perlakuan yang suka merosakkan benda seperti kerusi meja, barangan kawan sekelas, mengoyak poster atau notis di papan kenyataan dan sebagainya.

(g) Kebimbangan

Perasaan kurang senang atau takut akibat anggapan bahawa sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Keadaan ini akibat daripada pengalaman emosi yang tidak menggembirakan yang dialami oleh seseorang.

(h) Pengasingan diri

Suka menjauhkan diri daripada orang lain yang kurang disenangi. Tingkah laku ini juga dijadikan sebagai mekanisme helah bela diri untuk mengelakkan diri daripada berkomunikasi dengan orang lain.

(i) Ponteng sekolah

Perlakuan yang sengaja dibuat iaitu tidak hadir ke sekolah tanpa pengetahuan ibu bapa dengan membuang masa di tempat lain seperti pusat membeli belah atau taman permainan.

(j) Enggan ke sekolah

Enggan ke sekolah akibat daripada perasaan fobia terhadap sekolah. Kanak-kanak ini berasa bimbang untuk berpisah dengan keluarga dan bimbang meninggalkan kawasan rumahnya.

(k) Mencuri

Mengambil hak orang lain tanpa kebenaran tuannya. Tabiat mencuri barang rakan sekelas akan menyebabkan pertengkaran, pergaduhan, dan dipulaukan oleh rakan sekelas.

Faktor-Faktor Mempengaruhi Tingkah Laku

Tingkah laku yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berpunca daripada faktor-faktor tertentu. Guru perlu memahami faktor-faktor yang menjadi punca masalah tingkah laku muridnya supaya menjadi panduan dalam merangka program pengurusan tingkah laku bagi murid tersebut. Roger Stancliffe (tidak bertarikh) telah menyenaraikan 9 faktor yang dikaitkan dengan masalah tingkah laku kanak-kanak.

• persekitaran

• tekanan psikologikal

• ketakutan dan fobia

• peneguhan yang kurang sesuai

• kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad

• kesukaran tugasan

• aktiviti dan tahap rangsangan

• kesihatan dan perubatan

• jangkaan tingkah laku



(a) Faktor persekitaran
Sesetengah kanak-kanak sangat sensitif terhadap persekitaran seperti bunyi bising, sejuk, panas, dan lain-lain. Perubahan tingkah laku akan ditunjukkan terutamanya bagi kanak-kanak yang mengalami kecacatan teruk, autisme, dan lain-lain.

(b) Tekanan psikologi
Individu yang mengalami masalah tingkah laku obsesif dan tingkah laku yang sudah menjadi tabiatnya akan berasa senang dengan tingkah laku tersebut. Mereka akan berasa tertekan apabila kebiasaan tingkah laku itu diganggu atau dihalang.

(c) Ketakutan dan fobia
Fobia bermaksud ketakutan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Fobia termasuk juga takut terhadap sesuatu yang berbahaya seperti ular atau ketinggian yang melebihi tahap bahaya sebenar perkara tersebut. Ketakutan ini boleh menyebabkan bahaya kepada individu tersebut seperti berlari melintas jalan raya kerana takutkan anjing.

(d) Peneguhan yang kurang sesuai
Tingkah laku bermasalah ada kalanya dikukuhkan secara tidak sengaja. Tindak balas semula jadi kita secara serta merta terhadap tingkah laku tertentu ada kalanya menjadikan tingkah laku itu lebih teruk. Sebagai contoh, seorang kanak-kanak yang enggan makan ubat akan dipujuk serta dijanjikan dengan beberapa ganjaran oleh ibu dan bapanya. Oleh itu, kanak-kanak itu akan sengaja enggan makan ubat kerana mahukan perhatian daripada ibu bapanya.

(e) Kemahiran komunikasi dan sosial yang terhad
Terdapat bukti yang jelas menunjukkan bahawa kadar tingkah laku bermasalah yang tinggi di kalangan kanak-kanak yang kurang berkomunikasi berbanding kanak-kanak yang boleh berkomunikasi dengan baik.

(f) Kesukaran tugasan
Kesukaran tugasan boleh menyebabkan kanak-kanak melakukan kesilapan dan mengalami kegagalan. Keadaan kekecewaan ini berkait rapat dengan masalah tingkah laku yang mereka tunjukkan.

(g) Aktiviti dan tahap rangsangan
Kekurangan aktiviti yang membina akan menyebabkan berlakunya masalah tingkah laku. Sebagai contoh, guru bukan hanya setakat memberi mainan atau buku kepada muridnya tetapi perlu mengajar murid tersebut kemahiran yang perlu untuk melakukan aktiviti tersebut.  

(h) Kesihatan dan perubatan
Kesakitan atau keadaan tertekan yang berkaitan dengan keadaan kesihatan tertentu boleh menyebabkan rasa kurang selesa dan boleh menyebabkannya berkelakuan kurang sesuai.

(i) Jangkaan tingkah laku
Ada kalanya ibu bapa atau guru menjadi letih dengan tingkah laku kanak-kanak dan membiarkannya berkelakuan sedemikian dengan anggapan bahawa tingkah laku itu akan hilang dengan sendirinya. Jangkaan terhadap tingkah laku kanak-kanak tersebut adalah rendah daripada yang sepatutnya. Sebenarnya mereka ini terperangkap dengan anggapan bahawa itulah sifat kanak-kanak tersebut dan tidak boleh diubah lagi (the way he/she is).

Model Pengurusan Tingkah laku

(a) Model Psikodinamik

Berasaskan kepada teori Freud (1949) dan Erickson (1963) Pendekatan yang berfokus pada proses kejiwaan dan masalah dalaman individu iaitu berkaitan dengan personaliti seseorang. Menurut model ini, punca gangguan tingkah laku adalah disebabkan oleh:

• Masalah dalaman individu

• Faktor persekitaran yang mengganggu kehidupan intrapsikik seseorang

Antara strategi pengurusan gangguan tingkah laku di bawah model ini ialah:

• Model Psikopendidikan

• Teknik Kaunseling

• ‘Expressive Media’

• Teknik Pengurusan Tingkah Laku

Model Psikopendidikan menjadi syarat asas kepada teknik-teknik yang lain. Ia merangkumi pelbagai pendekatan psikologi dan pendidikan untuk membantu kanak-kanak yang menghadapi gangguan tingkah laku.

Teknik kaunseling boleh diguna untuk membantu guru mengawal dan mengubah tingkah laku bermasalah melalui perbincangan secara peribadai yang produktif. Teknik ini perlu dilaksanakan secara konsisten oleh pihak yang terlatih dan berpengalaman. Antara teknik yang boleh dilaksanakan ialah:

• Life-space Interview

• Reality Theraphy

Teknik Expressive Media menggalakkan kanak-kanak meluahkan masalah atau emosi melalui aktiviti kreatif yang dilaksanakan. Dijalankan dalam satu setting yang terkawal dengan memberi kelebihan kepada domain afektif serta pembelajaran secara kognitif dan psikomotor. Antara teknik-teknik yang boleh digunakan: • Free Play

• Permainan Puppet

• Main Peranan

• Pergerakan Kreatif

• Terapi Seni

• Muzik

• Fotografi dan rakaman video

Pendekatan pengaruh tingkah laku dikatakan amat berkesan untuk mengubah tingkah laku secara serta merta. Dilaksanakan di dalam dan di luar bilik darjah pada bila-bila masa sahaja.

Antara Teknik yang boleh diguna ialah:

• Planned Ignoring

• Tension Reduction Through Humor

• Interest Boosting

• Hurdle Helping



(b) Model Persekitaran

Kesan persekitaran ke atas tingkah laku individu. Pendekatan yang diambil dengan menggunakan persekitaran sebagai langkah intervensi. Menurut model ini, punca gangguan tingkah laku ialah perubahan persekitaran yang dilakukan oleh manusia. Antara teknik yang boleh diguna ialah: • Intervensi berpusatkan kanak-kanak

• Intervensi berpusatkan persekitaran

• Intervensi berpusatkan kanak-kanak dan persekitaran

• Intervensi berpusatkan perantaraan antara kanak-kanak dan persekitaran



(c) Model Biofizikal

Menekankan kepada perkaitan tingkah laku dengan faktor organik individu seperti keadaan fizikal, penyakit yang dialami, alahan dan ketidakupayaan berfungsi anggota badan (kecacatan). Pendekatan yang diambil melalui kaedah perubatan dengan bantuan pakar perubatan. Berfokuskan kepada langkah pencegahan awal iaitu dalam tempoh sebelum dan selepas kelahiran bayi. Model ini percaya bahawa gangguan tingkah laku berpunca dari factor persekitaran dan baka. Antara teknik –teknik yang boleh digunakan ialah: • Kaunseling genetik

• Penjagaan sebelum kelahiran (semasa mengandung)

• Penjagaan selepas kelahiran

• Ujian perubatan

• Pemakanan dan diet

• Terapi Mega Vitamin

• Perubatan



(d) Model Tingkah Laku

Merupakan kaedah modifikasi iaitu pengubahsuaian tingkah laku dengan menggunakan langkah-langkah pengurusan tingkah laku yang sistematik berdasarkan prinsip psikologi. Model ini bertujuan mengubah tingkah laku yang negative kepadaa yang positif yang boleh diaplikasikan dalam bilik darjah untuk menyelesaikan masalah disiplin. Berasaskan 3 elemen – ABC



Kesimpulan

Secara amnya, pelajar atau remaja yang kian meningkat usianya akan bertindak di atas kawalan emosi berbanding berfikiran terbuka atau menerima hakikat sebenar. Hal ini menyebabkan pelajar atau remaja terhad permikirannya, sekaligus melahirkan generasi yang mempunyai tingkah laku yang tidak seimbang. Mereka lebih gemar melihat apa yang tersurat di hadapan mereka dan tidak mampu melihat setiap yang tersirat. Ini membuktikan bahawa psikologi tingkah laku amat mempengaruhi pertumbuhan serta perkembangan minda remaja zaman ini.

Di samping itu, golongan remaja yang merupakan bakal menjadi pemimpin Negara pada suatu hari kelak perlu didekati dan dibimbing oleh generasi dewasa masa kini. Ini bertujuan bagi melengkapkan satu proses pembelajaran serta pendedahan awal kepada golongan muda dalam merealisasikan matlamat Negara. Justeru, menerusi penguasaan ilmu psikologi tingkah laku akan sedikit sebanyak membantu generasi baru ini untuk melihat kebolehupayaan mereka pada suatu hari nanti.

Oleh yang demikian, maka bersama-samalah kita melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang bagi memperkayakan legasi Negara yang kini seiring dan standing dengan Negara-negara maju yang lain. Kesemua matlamat dan kejayaan anak muda dapat dicapai menerusi daya toleransi yang tinggi dalam aspek pemahaman konsep psikologi tingkah laku itu sendiri.



Rujukan

Gibbons (1970). Theories of Human Development. Englewood Clift. N.J Azizi Yahaya, Yusof Boon, Jamaludin Ramli, Jaafar Sidek Latif, Fawziah Yahya, Amir Hamzah

Abdul (2004). “Psikologi Sosial”. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia.

Olweus, D. (1978). Aggression in the School: Bulying and Whipping Boys. Washington, DC: Hemisphere, Wiley.

Olweus, D. (1998). Bullying at school: basic facts and effect of a school based intervation program. Child Psychological Science, 4, 196-200.

Smith dan Sharp (1994) The problem of school bullying. In P.K. Smith & S.Sharp (Eds.), School Bullying Insights and perspectives. London: Routledge.

Nik Aziz Nik Pa (1991). “Keluarga Sejahteran Sebagai Landasan Bagi Realisasi Wawasan 2020”. Jurnal Kebajikan Masyarakat, 2. 22-31

Erickson, E.H. (1963). Childhood and Societ (rev. Ed.) New York: Norton

Sulaiman Masri (1996). “Pelajar Cemerlang”. Kuala Lumpur: Tinggi Perss Sdn. Bhd.

Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2006). Panduan Ulangkaji Ilmu Pendidikan Untuk KPLI (Sekolah Rendah dan Menengah). Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman.

Dr. Ragbir Kaur A/P Jaginder Singh (2012). Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Psikologi. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2011). Nota Intisari Ilmu Pendidikan Psikologi Pendidikan. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Mok Soon Sang (2012). Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Rohaty Mohd. Majzub (1992). Psikologi Perkembangan Untuk Bakal Guru. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Shahabuddin Hashim, Dr Rohizani & Mohd. Zohir. (2003). Pedagogi : Strategi dan Teknik Mengajar dengan Berkesan. Pahang: PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Sulaiman Ngah Razali. 1997. Pedagogi: Teori dan Praktik. Kuala Lumpur: Dewan Bahas dan Pustaka.

Back to Articles Archive

Research, Articles & Publications    [ Archive ]

KIDS CREW OPEN DAY

Tarikh/Hari : 3 Ogos 2018 (Jumaat)

Masa : 9.00AM - 5.00PM

Lokasi : RUANG LEGAR dan TEMPAT LETAK KENDERAAN SIDMA, Kolej SIDMA Sarawak

PENDAFTARAN SEBAGAI PENGUNDI (PEMILIH) BAGI WARGA PELAJAR DI IPTS

Syarat-syarat Kelayakan :

1) Seorang warganegara Malaysia

2) Telah mencapai umur 21 Tahun

3) Bermastautin di bahagian pilihan raya yang ingin didaftarkan

4) Tidak dihalang/hilang kelayakan oleh undang-undang yang berkuatkuasa

Kaedah Pendaftaran :

1) Pendaftaran statik seperti di kaunter Ibu Pejabat SPR, Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos Berkomputer.

2) Pendaftaran Bergerak sepert Out-Reach Team SPR, Penolong Pendaftar (Parti Politik) atau Penolong Pendaftar di Pejabat-pejabat Kerajaan yang dilantik oleh SPR.

Pusat-Pusat Pendaftaran :

i) Ibu Pejabat SPR di Putrajaya
ii) Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di seluruh negara
iii) Pejabat Pos Berkomputer di seluruh negara
iv) Pejabat Daerah/Pejabat Majlis Daerah
v) Tempat-tempat awam seperti pasar malam, pasar raya atau taman-taman perumahan yang dikunjungi oleh Out-Reach Team SPR

KIDS CREW OPEN DAY

Tarikh/Hari : 3RD AUGUST 2018 (Friday)
Masa : 9.00AM - 5.00PM
Lokasi : RUANG LEGAR dan TEMPAT LETAK KENDERAAN SIDMA, Kolej SIDMA Sarawak

Announcements